Piagam Barisan Nasional 2010


Piagam Barisan Nasional 2010

KAMI Pewaris Bangsa, memperakui betapa para pengasas negara bersatu hati dan berganding bahu, dalam menubuhkan Parti Perikatan demi memperjuangkan kemerdekaan negara dan mencipta prinsip permuafakatan demi kemakmuran bersama.

Hari ini, kami anak Malaysia, pendukung Barisan Nasional, berhimpun atas satu semangat, mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara, mendukung Perlembagaan Persekutuan, Institusi Raja Berperlembagaan dan Sistem Demokrasi Berparlimen serta mengamalkan prinsip-prinsip asas Rukun Negara, bertekad dan berjanji serta berikrar, meneruskan perjuangan untuk bangsa dan negara, berteraskan kepada prinsip-prinsip berikut:

Pertama, menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, menghormati hak dan keistimewaan setiap rakyat di sisi undang-undang, menjamin kebebasan institusi kehakiman dan membanteras jenayah bagi menzahirkan sebuah masyarakat yang aman, stabil, makmur dan selamat.

Kedua, mempereratkan lagi hubungan antara kaum dan lapisan masyarakat, mencegah dan menentang segala bentuk ekstremisme dan rasisme, demi memupuk perpaduan bagi sebuah masyarakat majmuk berteraskan gagasan 1Malaysia.

Ketiga, meneruskan usaha memajukan ekonomi negara melalui peningkatan daya saing, di samping memberikan komitmen terhadap pembahagian ekonomi yang adil dan mengekalkan kelestarian alam sekitar, menggalak penyertaan semua kaum dalam setiap bidang ekonomi dengan seimbang, demi memastikan nikmat kemakmuran dan kekayaan negara dapat dikecapi bersama.

Keempat, menjamin pendidikan berkualiti bagi semua, memperkasakan pembudayaan ilmu pengetahuan, sebagai asas pembentukan modal insan yang berketerampilan serta memastikan pendidikan kebangsaan menjadi wahana utama pembentukan insan yang mulia demi pengukuhan perpaduan nasional.

Kelima, meneruskan tradisi membela rakyat dengan mengutamakan pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial, peningkatan infrastruktur asas yang menyeluruh, serta menjadikan peningkatan kualiti hidup rakyat, sebagai penanda aras utama prestasi kerajaan Barisan Nasional.

Keenam, memajukan institusi keluarga, menggalakkan penyertaan wanita, belia, orang kurang upaya dan isi rumah secara berkesan dalam pembangunan sosioekonomi negara, serta memperkasa peranan golongan muda dan masyarakat sivil sebagai rakan utama dalam pembinaan negara; dan

Ketujuh, mendukung prinsip tadbir urus yang baik dan menolak amalan rasuah, menyokong dan membantu meningkatkan integriti dan kecekapan agensi kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, dan menghayati konsep "Rakyat Didahulukan" sebagai asas pengwujudan kerajaan yang mengutamakan pencapaian dalam memenuhi keperluan dan harapan rakyat.

Inilah ikrar dan tekad kami, pendukung Barisan Nasional, demi kesejahteraan semua rakyat dan generasi akan datang, dalam meneruskan perjuangan murni mewujudkan perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan agama, dengan keazaman semangat 1Malaysia, dengan mendahulukan rakyat, kami berikrar dan bertekad mencipta kejayaan yang lebih gemilang, bagi negara Malaysia.

****

Apa yang diucap..itulah yang ditagih. Majulah BN untuk negara. Sesungguhnya tiada parti lain yang dapat membela kita selain UMNO dan Barisan Nasional. Masih ada ke Melayu yang menyokong Pakaran Rakyat? Sudah terang lagi bersuluh mereka ada agenda tersendiri. Sedarlah......Hoho

0 comments:

Catat Ulasan

Awak komen je dengan ikhlas. Tak paksa pun. Amir pun tak pasti dapat ke tidak balas komen tu. Sibuk gilak-gilak bah! Ko guano gu? Bereh??